Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Di sini saya ingin membentangkan sebuah topik yang menarik yang ingin saya kongsikan kepada anda semua. Topik tersebut berjudul peranan rakan sebaya dalam mempengaruhi perkembangan sosioemosi kanak-kanak.
Rakan sebaya memainkan peranan yang agak penting dalam mempengaruhi perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Kanak-kanak pertengahan dan akhir banyak
menghabiskan masanya dengan berinteraksi dengan rakan sebaya
mereka. Menurut penelitian yang dilakukan oleh Santrock, 2002,
kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun, menghabiskan 40% waktu siangnya
untuk berinteraksi dengan rakan sebayanya. Kegiatan yang biasanya
dilakukan adalah bermain, berjalan-jalan dan bersosial. Kebanyakan
interaksi berlaku di luar rumah ( walaupun dekat dengan rumah ), lebih
terjadi di kawasan-kawasan peribadi daripada di kawasan-kawasan awam,
dan sering terjadi di antara kanak-kanak yang sama jenis jantina
daripada kanak-kanak yang berbeza jenis jantina.
Apa yang anda faham dan tahu mengenai Rakan sebaya?
Menurut Kamus Dewan
Edisi Ke-4, rakan sebaya ialah sahabat yang sama umurnya. Rakan sebaya juga ialah
sahabat daripada lingkungan latar belakang yang sama dan suka bersama
dalam pelbagai aktiviti dan matlamat atau dalam kata lain mempunyai
minat yang sama. Rakan sebaya sangat mempengaruhi perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Hal ini kerana, setiap tindakan yang dilakukan oleh rakan sebaya akan mempengaruhi kanak-kanak.
Rakan sebaya adalah antara agen sosial yang berpengaruh di dalam membentuk sikap dan akhlak individu kerana mereka merupakan kelompok rujukan bagi kanak-kanak di dalam tingkah laku mereka.
Perkembangan sosioemosi bermaksud keupayaan kanak-kanak untuk berinteraksi serta memberikan tindakbalas terhadap sesuatu dan bertingkah laku mengikut norma masyarakat.
Perkembangan ini dapat dilihat sama ada melalui cara kanak-kanak berkomunikasi dan tingkah laku positif seperti berkongsi, berdikari, dan megikut peraturan atau tingkah laku negatif seperti bergaduh, mengasingkan diri dan kurang dalam keyakinan diri.
Banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Salah satu faktor yang menyebabkan sosioemosi kanak-kanak terganggu ialah faktor rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan penyebab seseorang pelajar itu berjaya atau tidak. Hal ini adalah kerana kawan memainkan pengaruh yang paling kuat
terhadap seseorang individu. Situasi ini adalah selaras dengan satu
kajian yang dijalankan oleh Student Social Support Scale yang menyatakan ,
kanak-kanak merasakan rakan mereka adalah penting kepada mereka (Malecki
& Elliott,1999). Apa saja penyebab seseorang pelajar itu berjaya
adalah pengaruh rakan sebaya.
Kumpulan rakan sebaya juga berfungsi sebagai penggantian jika perhubungan dengan ibu bapa tidak baik atau tegang. Pada kebiasaannya, pada zaman kanak-kanak dan remaja, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar terhadap pelajar. Segala gerak-geri dan tingkah laku akan ditiru atau diikuti oleh rakan sebayanya. Menurut Quek Miow Leng (2006), rakan sebaya turut berperanan dalam mempengaruhi pencapaian akademik pelajar.
Rakan
sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dari segi nilai, sikap dan
pandangan mengenai kehidupan terhadap kanak-kanak. Kanak-kanak akan cuba
untuk menghayati rutin hidup, nilai dan harapan rakan sebaya agar diterima
dan disanjung oleh kumpulannya walaupun kadangkala norma tersebut
menyalahi norma dan nilai keluarga atau masyarakat(Rohana Yusof,1996).
Melalui rakan sebaya, kanak-kanak dapat memperolehi kemahiran untuk
menyesuaikan diri dalam masyarakat. Kanak-kanak akan belajar menghormati
hak orang lain, bekerjasama, mempelajari peranannya, bertanggungjawab
ke atas tugas yang diberi dan mematuhi peraturan dalam usaha mewujudkan
keharmonian dalam kumpulan. Individu akan mempelajari kemahiran tersebut
secara berperingkat-peringkat dan melalui permainan. (Dr. Khadijah Rohani dan rakan-rakan, 2006).
Selain itu, rakan sebaya berperanan dalam mempengaruhi perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Ia berkaitan dengan penerapan nilai yang
dapat diterima oleh persekitaran sosial dalam suatu permainan.
(Hetherington & Parke, 1999). Rakan sebaya merupakan sumber informasi
bagi seseorang kanak-kanak untuk mengetahui nilai dan bagaimana memupuk
sikap baik ketika bermain bersama rakan.
Rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak
mengembangkan self image dan self esteem kerana ia memberikan suatu
standart bagi seorang kanak-kanak dalam menilai dirinya sendiri.
Kesimpulannya, rakan sebaya sangat mempengaruhi perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Di samping mempengaruhi emosi kanak-kanak, rakan sebaya juga mempengaruhi perkembangan mental kanak-kanak.